Artikel

Kartini Kembali di Kedai Buku 1 Malaysia

oleh Zikri Musa pada 20 Sep 2012

Masihkah kita ingat dengan kartunis Tembakau? Adakah kita masih ingat dengan cerita Kartini? Pastinya generasi yang lahir sekitar 80an dan 90an masih ingat dengan karya ini.

Tetapi, bagi yang belum tahu, Kartini ialah karya evergreen yang sangat popular pada era 90an. Ia adalah hasil karya Azhar bin Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Tembakau. Anak Kuala Kangsar ini memulakan karier sebagai pelukis ditahun 1994 sebagai pelukis storyboard filem animasi Malaysia yang terawal, Usop Sontorian.

Untuk pengetahuan semua, Kartini ialah salah satu komik bersiri popular dalam majalah Ujang. Ia juga pernah dibukukan oleh Multi Triple Vision Sdn. Bhd. Komik ini pernah menggegarkan industri komik negara dan mempunyai banyak pengikut-pengikut setia dari pelbagai peringkat umur.

Tembakau menghasilkan komik ini melalui pengalaman beliau sendiri dalam mengharungi ranjau kehidupan dari zaman persekolahan hingga dewasa.

Komik Kartini berkisar mengenai gadis impian yang dikejar oleh setiap lelaki. Tetapi, lelaki itu bukanlah impian bagi setiap gadis. Si lelaki mahukan hubungan yang lebih istimewa, manakala si gadis pula hanya mahu berkawan rapat.

Salah faham berlaku, si lelaki mula menaruh harapan dan si gadis tidak mahu melukakan hati teman yang rapat. Kisah ini bermula di zaman persekolahan di mana cinta monyet mula bermain di fikiran remaja. Komik ini menggambarkan situasi sebernar di asrama ketika zaman persekolahan. Pelbagai ragam remaja boleh dilihat yang mungkin kita sendiri pernah lalui.

Sempena perasmian Kedai Buku 1 Malaysia 22 September ini di Pudu Sentral, Tembakau akan membuat penampilan istimewa pada jam 10.00 pagi. Ayuh kita memeriahkan acara ini dan berjumpa sendiri dengan kartunis yang membawa legasi Kartini ini. Dapatkan koleksi komik Kartini diterbitkan oleh Komik-M untuk koleksi anda.   

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024