Kenapa Zainuddin, Hayati dan Aziz Dipilih Sebagai Watak Oleh HAMKA?

oleh Asri Yussof pada 29 Sep 2016

kapal_1

Tahun lalu, saya membaca kritikan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Peribade Abdullah Bongkok di Daily Seni. Ketika itulah saya menemukan sesuatu yang menarik oleh beliau tentang nama watak yang dikarang Hamka dalamnya. Sebenarnya ada perlambangan yang tersembunyi dan tersirat.

Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck tahun lalu di Istana Budaya

Di dalam novel ini, watak Zainuddin ialah anak kepada Pandekar Sutan, Melayu Minangkabau yang membawa diri ke Makassar lalu berkahwin dengan gadis Bugis bernama Daeng Habibah.

Disini, HAMKA menekankan bahawa rumpun manusia itu wajar bersatu tidak kira apa sahaja suku kaum. Pandekar Sutan adalah lambang kepada insan, manakala Daeng Habibah pula lambang kepada cinta. Apabila dua peribadi ini bersatu, maka hasilnya ialah ‘perhiasan agama’ atau Zainuddin.

Pun begitu, perhiasan agama tidak bermakna apa-apa jika tidak bersatu pula dengan Hidup (hakikat) yang dilambangkan pada watak Hayati. Nah, inilah yang sepatutnya ada pada setiap individu manusia.

Zainuddin dan Hayati dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Kebetulan, saat HAMKA menulis novel ini, dilihatnya kepincangan masyarakatnya yakni Minang yang membeza-bezakan suku dan darjat serta HAMKA tidak bersetuju sama sekali dengan konsep ‘kahwin paksa’; maka itu dijadikan plot demi men-drama-kan lagi novelnya.

Apabila hakikat Hidup yang tulen itu dijadikan oleh manusia sebagai ‘hidup’ yakni sekadar mengambil lapis atasnya sahaja - yang digambarkan HAMKA perkahwinan Hayati dengan Aziz, maka manusia itu bisa pincang.

Aziz bermaksud ‘perkasa’ dan perkasa disini digambarkan wataknya dengan darjat, kuasa, wang, kemewahan dengan cara hidup Belanda; bukanlah gambaran Maha Perkasa.

Hayati dan Aziz dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Kemudian, HAMKA menjelaskan lagi apabila ruang kemaafan ditutupi dengan tembok dendam, akhirnya hakikat Hidup itu akan lenyap dan tenggelam bersama materialistik.

MENARIK: 11 Persamaan Antara Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dengan Novel Yang Dikatakan Hamka Plagiat, Majdulin (Magdalena)

MENARIK: 3 Novel Yang Sama, Majdulin, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Sous Les Tilleuls

Filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Kesimpulannya, HAMKA menyeru agar kita (manusia) menjadi pemaaf dan bersatu menuju hakikat Hidup lalu menentang penjajahan material (duniawi) dan hidup merdeka bagai orang bercinta.

Ini yang dimaksudkan oleh HAMKA:

“Kalau hidup sekedar hidup, babi di hutan juga hidup; Kalau bekerja sekedar bekerja, kera juga bekerja.”

Dalam konteks ketika novel ini terhasil, ia ditafsirkan sebagai seru agar Melayu bersatu menentang Belanda dan sistemnya yang telah berjaya meracuni tatakrama (adat sopan santun) Melayu.

MENARIK: Bookcafe Tawar Diskaun Untuk Buku Sehingga 95% dan Buku RM1 Sehingga 30 September 2016 Sempena #MyCyberSale2016