Artikel

Negara Islam Pertama, di Madinah?

oleh Abdullah pada 04 Nov 2019

Bila kita sebut tentang negara Islam, tentu saja kita semua bersetuju yang negara Islam pertama adalah negara Madinah. Yang dibuka oleh Nabi Muhammad s.a.w dan menjadi sebuah negara yang adil dan sejahtera untuk semua rakyat tidak kira Islam atau tidak, dan dari kabilah mana sekalipun, mereka mempunyai hak yang sama rata.

Tidak boleh tidak, kita juga bersetuju era kegemilangan Islam adalah pada zaman pemerintahan Baginda Rasulullah s.a.w yang merupakan Nabi terakhir dan mempunyai mukjizat yang teragung. Era kegemilangan Islam bukan pada zaman Abasiyah, Umayyah atau Turki Uthmaniyah. Tidak ada pemimpin Islam yang dapat menandingi kepimpinan yang adil dan saksama oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Menjadikan Madinah sebagai sebuah negara yang demokratik bukanlah sesuatu yang berlaku hanya dalam satu malam. Nabi juga adalah seorang manusia. Tarbiyah dah dakwah yang dilakukan Rasulullah bermula sejak awal Perjanjian Aqabah pertama lagi. Kemudian diteruskan dengan Perjanjian Aqabah kedua dan seterusnya Hijrah Nabi ke Madinah.

Selepas perjanjian taat setia yang dilakukan di Aqabahm Mina, dan berakhirnya musim haji, Nabi Muhammad s.a.w menghantar duta Islam pertama bersama orang-orang yang melakukan perjanjian taat setia untuk mengajar orang-orang Islam yang lain tentang syariat dan hukum Islam supaya mereka mendalami ajaran agama.

Dengan ini, mereka dapat menyebarkan Islam kepada orang-orang yang masih menyekutukan Allah s.w.t. Bagi melaksanakan misi ini, baginda memilih orang Islam yang masih muda yang awal-awal memeluk Islam. Dia adalah Mus’ab bin Umair Al-Abdari.

Mus’ab bertemu dengan As’ad bin Zurarah dan mereka berdua menyebarkan Islam kepada penduduk Yatrib (Madinah) dengan serius dan bersemangat. Mus’ab dikenali sebagai orang yang fasih membacakan Al-Quran dalam kalangan mereka.

Ramai ahli sejarah percaya bahawa sebelum hijrah Nabi Muhammad s.a.w ke Yathrib, kota ini merupakan sebuah penempatan yang tidak maju seperti Makkah sama ada dalam segi pembinaan, masyarakat dan sebagainya. Yathrib diasaskan oleh Yathrib bin Mahlaeil. Kawasan ini subur dengan tanaman seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan kaya dengan air. Hal ini menyebabkan Yathrib dikunjungi dan akhirnya diduduki oleh manusia dari kawasan setempat. Pada tahun 455 SM, suku-suku Arab dari utara mengunjungi dan akhirnya menetap di Yathrib.

Piagam Madinah menjadi asas pembentukan negara Madinah. Ia merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal. 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin. 24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.

Selain Piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.

Selepas kerajaan Umaiyah yang diasaskan oleh Muawiyyah berkuasa selepas Khulafa Ar-Rasyidin, beliau mengubah pusat pemerintahan kerajaan Islam ke Damsyik. Kota Madinah kemudiannya hanya menjadi pusat keagamaan sahaja daripada menjadi pusat politik. Kerajaan berganti kerajaan, pada tahun 1924, Madinah yang sudah lama berada di bawah kekuasaan Turki Uthmaniyyah jatuh ke tangan Ibnu Saud yang kemudiannya menjadi Raja Arab Saudi sehingga kini.



Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024