Artikel

Komik Atan Penuh Dengan Nilai-Nilai Yang Baik

oleh Iqbal Daswarman pada 15 Aug 2016

Hebat!

 Sebuah karya kreatif yang berjaya mengetengahkan tema persahabatan dan kekeluargaan. Saya percaya pelukis komik ini telah menggarap segala idea dan bakat ketika menghasilkannya.

Seni lukisannya begitu halus seolah-olah membawa pembaca untuk turut serta mengembara dan menyelami ke dalam ‘Dunia Atan’. Karya kreatif ini bukan sahaja menarik dari segi peletakan nilai kemanusiaan sesama manusia.

Bahkan turut dianyam kemas dengan nilai kemanusiaan terhadap haiwan. Inilah nilai yang kita namakan sifat ihsan. Berikut adalah sinopsis yang saya sediakan:

 

Sinopsis

Plot penceritaan Atan bermula dengan mengungkapkan keindahan sebuah kampung secara ringkas. Keadaannya aman, damai, nyaman dan bahagia meskipun penduduknya tidak mewah harta. Majoriti penduduk berkhidmat serta berbakti kepada alam.

Kampung Buana Tunggal. Di situ, tinggal seorang anak muda bernama Hasbi bersama sahabatnya Atan, seekor kerbau. Si kembar, Anisah dan Aniqah juga membesar di kampung tersebut.

Ketika itu, mereka semua hidup sebagai seorang pelajar sekolah. Mereka semua boleh dianggap sebagai sahabat.

Kehilangan Atan merupakan detik awal dan pengalaman pahit buat Hasbi baru bermula. Seusai waktu persekolahan, Hasbi mendapati Atan sudah hilang. Pagi itu, dia menempatkan Atan di kawasan sungai berdekatan sekolahnya.

 

Hasbi bingung. Ke mana Atan menghilang? Keadaan ini memaksa mereka bertiga meredah kawasan di situ sehingga malam. Malam itu, mereka menjumpai sekumpulan kelip-kelip yang mewarnai sekeliling.

Setelah itu, mereka bertiga ditangkap oleh bapa mereka masing-masing kerana bimbang tidak pulang ke rumah. Setelah Hasbi dibawa pulang dan dimarahi bapanya, dia sedar yang Atan sudah dibawa pulang.

Keesokan hari, Anisah ingin memburu semula kelip-kelip semalam bersama Aniqah. Aniqah enggan. Anisah degil. Dia menyuruh Anisah pulang bersendirian. Dia tidak menghiraukan kata-kata dan nasihat kakaknya.

Maka, bermula peristiwa yang tidak diingini. Petang itu, Hasbi mendapat tahu Aniqah hilang. Anisah pula mengalami trauma selepas ditemui penduduk dan ayahnya sewaktu dalam usaha mencari mereka berdua. Hasbi tidak dapat duduk diam, fikirannya kacau.

Kemudian, Hasbi bagai orang jatuh ditimpa tangga selepas mengetahui bapanya akan menjual Atan kepada ketua kampung untuk disembelih bagi memenuhi keperluan sebagai hidangan pada majlis perkahwinan anaknya.

Penjualan tersebut adalah supaya dapat menampung segala kerugian yang ditanggungi kerana padi musnah sewaktu musim hujan.

 

Pada akhirnya, Atan berjaya dilepaskan oleh Hasbi dengan bantuan Anisah. Atan yang ditunggangi Hasbi berlari sepantas kilat sehingga tidak sedar sudah tiba di kawasan sungai yang pernah mereka lewat dulu.

Hasbi bertekad untuk mencari Aniqah sehingga ditemui semula. Atan merubah haluannya. Hasbi hairan melihat tindak-tanduknya. Tiba-tiba, muncul seekor buaya besar dari perut sungai itu meloncat ke arah mereka.

Kesudahannya, buaya tersebut berjaya dibunuh. Atan cedera parah setelah diterkam kuat pada lehernya. Jiwa Hasbi luluh sewaktu Atan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Masa dan waktu terus beransur. Anisah sudah semakin pulih. Kehilangan Aniqah masih lagi menjadi tanda tanya. Ada orang membuat kesimpulan bahawa Aniqah sudah dimakan buaya itu. Ironinya, masih tiada bukti dan dalil yang jelas mengenai kesahihannya.

Persoalannya, apakah yang terjadi sebenarnya pada Aniqah pada malam itu?

 

Nilai

Berdasarkan pemerhatian saya, karya ini amat sarat dengan nilai-nilai murni yang dibawa pelukis. Antaranya adalah nilai tolong-menolong.

Kita dapat saksikan bapa Hasbi sentiasa berganding bahu bersama bapa Anisah dan Aniqah dalam menyelesaikan masalah mereka bagai aur dengan tebing.

Tok Ketua juga membantu bapa Hasbi yang berada dalam kesempitan kewangan. Sebagai manusia, kita perlu mencuba sedaya upaya membantu meringankan beban yang dipikul oleh orang lain.

Baca, Usaha Ben Wong Mendalami Budaya Melayu

Baca, Melalui Komik Atan, Ben Terima Anugerah Mangga di Jepun

Baca, Komik Atan di sini 

Selain itu, nilai prihatin selalu dititik-beratkan oleh Ben. Contohnya, Hasbi mengambil berat keadaan Atan, bapanya, Anisah dan Aniqah. Nilai ini juga dilihat semakin terhakis dalam kalangan masyarakat kita hari ini dan ditelan arus modenisasi.

Sikap prihatin antara satu sama yang lain harus dipupuk agar tidak menjadi insan yang bongkak dan angkuh. Sikap pentingkan diri hanya memakan tuannya sahaja.

Di samping itu, nilai bersangka baik. Meskipun pada mulanya Hasbi berburuk sangka pada Tok Ketua, akhirnya dia insaf dan sedar bahawa ketua kampung itu tidaklah sejahat yang difikirkannya.

Mutakhir ini, sikap bersangka buruk semakin berleluasa. Sikap ini tidak patut dizahirkan atas alasan pandangan kita terhadap seseorang secara zahiriah, pandangan luaran semata-mata.

Biar kita bersikap hati-hati asal bukan dengan sangka buruk.

Penutup

Tahniah Ben Wong!

Secara peribadi, saya amat kagum dengan beliau. Ben bukan sahaja kreatif malah berani berani menampilkan karyanya yang banyak berunsurkan adat-adat kemelayuan dan agama Islam.

Meskipun bukan berlatarbelakang Melayu dan Islam, saya percaya beliau berhati-hati melakukan kajian secara cermat dan teliti terutamanya dalam memetik ayat Al-Quran.

Semoga lebih ramai karyawan Malaysia tampil berani menghidangkan karya kreatif kepada masyarakat seperti karya Ben ini.

Buku ini wajar dimiliki oleh seluruh Malaysia.

Dapatkannya sekaranng di Bookcafe.com.my, kedai buku PTS atau kedai-kedai berdekatan anda.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024