Artikel

Review Buku: Mendidik Peribadi Anak Dengan Akhlak Nabi

oleh Muzuza pada 08 Dec 2021

#MaktabahMuzuza

Alhamdulillah, saya baru selesai menelaah buku yang menarik ini. Saya sebutkan dan gunakan lafaz telaah kerana buku ini walaupun ringkas, namun saya dapati ianya padat dan sarat dengan ilmu serta mutiaranya sangat bermanfaat.

Pertama, secara luaran juga sangat menjemput saya untuk membacanya melalui reka bentuk kulit buku yang memberikan warna yang tenang dan senang untuk dipandang. Begitu juga dengan penggunaan ilustrasi gunung, yang mana pada hemat saya mempunyai makna dan simbolik yang sangat baik.

Gunung adalah simbolik kepada perumpamaan timbunan perkara yang baik sepertimana al-Imam Malik bin Anas رَحِمَهُ الله digelarkan dengan satu gunung dari gunung ganang di Madinah dahulu. Kerana keilmuannya yang kukuh dan hebat. Maka, terlebih layak dan berhak bagi kita untuk meletakkan Nabi saw sebagai puncak gunung tertinggi sebagai tanda kita menjunjung Nabi saw iaitu gunung yang tertinggi dalam semua sudut mercu kehidupan yang terbaik.

Saya agak bersifat memilih atau selektif untuk memilih buku untuk dibaca kerana saya akan melihat kandungan, gaya penulisannya dan siapakah pengarangnya. Apabila saya melihat kepada biodata penulis, saya merasa agak takjub atas gaya bahasanya yang santai dan sangat mudah difahami walaupun hakikatnya sarat dengan info dan ilmu. Pujian harus diberikan kepada penulis atas adaptasi untuk memudahkan perbahasan walaupun dengan bahan yang ilmiah.

Dari sudut dalaman pula, saya lihat buku ini dimuqaddimahkan dengan permulaan kata yang sangat menjemput pembaca iaitu dengan mempromosi supaya mengikut peribadi Baginda Nabi saw yang berdasarkan kepada al-Quran dan hadith Nabi saw.

Motivasi dan galakan untuk lebih takjub dan mengikut peribadi Nabi saw adalah sangat perlu dan utama dalam arus zaman sekarang kerana kurangnya kesedaran ini menyebabkan kita semakin jauh dari tujuan asal ataupun sistem yang sebenar iaitu menjunjung Syariah dan jalan Sunnah Nabi saw.

Saya juga sangat berminat dan merasa ghairah untuk meneruskan pembacaan kerana penulis dilihat sangat memahami kehendak pembaca iaitu ingin dekat dan mesra pembaca dengan mendatangkan ibarat dan perumpamaan yang senang difahami dan dekat dengan jiwa pembaca.

Pada hemat saya, contoh dan perumpamaan adalah selari dengan gaya bahasa yang ada di dalam al-Quran untuk memberi faham kepada kita semua. Banyak contoh, makin teguh. Banyak perumpamaan, semakin mampan. Ada beberapa manhaj atau metodologi penulisan yang saya mampu lihat dari goresan pena tuan penulis. Saya ringkaskan kepada beberapa noktah:

- Apa yang menarik pandangan saya adalah penyusunan topik yang mempunyai tujuan dan struktur iaitu dengan memulakan skop yang kecil kemudian semakin besar dan lebih universal. Struktur begini membantu kepada kefahaman dan penyusunan kefahaman yang komprehensif dan bersasar. Garab yang kecil berdestinasikan yang besar supaya mengelak dari pepatah Arab “jangan jadi kismis sebelum menjadi anggur”.

- Kemudian, saya amat-amat bersetuju serta menyokong daya tulisan yang diketengahkan iaitu menggunakan hadith-hadith Nabi saw yang diterima dan bukanlah hadith yang tertolak seperti hadith palsu dan lainnya. Ini sangat penting dalam disiplin ilmu dan penulisan kerana sumber dalil dan hujjah yang sahih adalah pasak kepada asas sesuatu ilmu. Maka apabila kita ingin berbicara tentang sesuatu ilmu, wajib untuk kita bersandarkan kepada sumber dalil yang sahih dan dipercayai oleh ahli ilmu iaitu pakar bidang, dalam soal ini maka ulama’ hadith adalah aurotiti terbesar dalam pensabitan riwayat.

- Saya juga menyedari suatu perkara wajib yang kian ditinggalkan dalam penulisan namun sangat penting iaitu takrif atau definisi bagi suatu kalimah, terma atau frasa. Walaupun terkadangnya suatu istilah itu sudah lazim di telinga masyarakat, namun ini tidak menghalang dari istilah-istilah ini tidak difahami dengan jelas akan konsep dan maksud sebenar kepada penghayatan kalimah. Maka mendatangkan definisi adalah suatu komponen penulisan yang saya kira sebagai wajib bagi tulisan yang menyelitkan kandungan ilmiah.

- Akhirnya, membawa rujukan. Hemah ilmiah ini juga adalah berkait dengan keaslian ilmu dan salah satu prinsip ilmu untuk menjaga kesahihan sumber ilmu. Ini juga diamalkan oleh para ulama’ dan ilmuwan iaitu hemah dan disiplin membawa rujukan ini menandakan banyaknya pembacaan dan rujukan penulis dan tidak mereka-reka suatu dakwaan atau pernyataan. Ini selari dengan kaedah dalam dunia keilmuan Islam iaitu : “jika kamu ingin membuat dakwaan, maka datangkan dalil atau bukti”.

Demikian noktah-noktah ringkas yang mampu saya bawakan tentang kebaikan dan keistimewaan buku ini. Saya juga melihat buku yang bermanfaat ini adalah seolah serpihan dari kitab al-Syama’il al-Muhammadiyyah karangan al-Imam al-Tirmidzi rhm, namun dengan sudut yang lebih ringkas, diadaptasi dan diolah dengan kesesuaian zaman serta membawa topik yang holistik serta universal. Maka saya sangat-sangat syorkan untuk kita membaca buku ini kerana di sana manfaatnya sangat luas apatah lagi tujuan asal kepada buku ini adalah untuk mengasuh dan mendidik anak-anak serta generasi muda sekarang dengan tunjang akhlak al-Quran dan sulaman peribadi Nabi saw.

Wallahu a’lam.

- Sumber: Twitter @Muzuzxck

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024