Seorang budak berumur 11 tahun, Syafiqul Aiman, yang telah kehilangan ibu dan bapa, beruasaha sedaya upaya untuk menjaga sebuah surau pusaka milik bapanya. Oleh kerana dia terlalu menyayangi dan merindui ibu dan bapanya, dia rela untuk tinggal di surau. Setiap hari dia akan tidur di surau, dan akan ada orang kampung yang selalu menghantar makanan untuknya.
Ustaz Hassan yang menjadi imam di surau itu berjanji kepada arwah ibu dan bapanya untuk menjaga Aiman. Aiman sentiasa mengikut Ustaz Hassan ke mana sahaja ustaz itu pergi menyampaikan kuliah atau usrah. Semenjak ibu bapanya meninggal dunia, Aiman telah mengambil keputusan untuk berhenti sekolah.
Aiman mengesani budak-budak di kampungnya jarang datang solat berjemaah di surau. Jika datang pun, mereka masih bermain-main dalam solat. Aiman berfikir bagaimana cara untuk mengajak mereka datang ke surau dan mendidik kawan-kawannya supaya solat dengan sempurna. Aiman sering diejek sebagai anak yatim piatu yang berlagak alim. Dalam masa yang sama, Aiman sangat merindui Khairul `Amirin, seorang mahasiswa yang menuntut di sebuah universiti di selatan tanah air.
Setelah pulang dari kampus, Khairul bertekad untuk membantu Aiman mengajak budak-budak kampung. Pelbagai cara kreatif yang telah dilakukan termasuk membakar ayam pada malam setiap hujung minggu bagi mengikat ukhwah sesama mereka.
Pada suatu hari, semasa mengecat surau bersama kawan-kawannya, telah berlaku tragedi yang menjadi asbab kepada Aiman untuk menyambung pengajiannya yang tertangguh. Hasil perbincangan antara Khairul dan Ustaz Hassan, mereka bersetuju untuk menghantar Aiman ke pondok.
Tetapi, sebelum Aiman menyambung pengajian di pondok, mereka telah bersetuju untuk memulakan perniagaan ternakan ikan keli. Khairul yang masih tidak mendapat pekerjaan tetap mengambil keputusan untuk menolong Aiman memajukan projek penternakan secara kecil-kecilan. Kawasan surau, tanah pusaka arwah ayah Aiman telah menjadi tapak projek tersebut.
Semakin hari, penternakan ikan keli itu semakin maju. Daripada ternakan kecil-kecilan, ia bertukar menjadi perniagaan komersial. Menurut Khairul, Aiman akan mewarisi segala apa yang diusahakannya kerana dia sedar, niat asalnya adalah untuk membantu Aiman. Dalam novel ini, diselitkan juga sebahagian panduan-panduan untuk menternak ikan keli secara komersial.
Selepas tiga tahun, Aiman pulang dan kembali sepenuhnya ke kampung. Baru dia mahu mengecap nikmat kegembiraan bersama hasil ternakan komersial miliknya, Allah telah mengambil Ustaz Hassan untuk pulang ke rahmatullah. Dia kehilangan tempat bergantung buat selama-lamanya meski dia kini sudah semakin matang. Rupa-rupanya sejak sekian lama, Aiman menaruh harapan besar untuk menjadikan suraunya bertukar kepada sebuah masjid yang akan menjadi pusat aktiviti penduduk kampung.Di pengakhiran cerita, Aiman memberi ucapan dalam suatu majlis kepada semua anak-anak yatim dari rumah anak yatim Darul Nadwah yang dijemput datang ke masjidnya. Oleh kerana ternakannya sudah dieksport ke luar Negara dan perniagaannya berkembang maju, dia bersetuju untuk menaja semua anak yatim itu sepanjang pengajian mereka.
KANDUNGAN
Bab 1 Surau Ini Ada Kenangan
Bab 2 Belajar Mengenal Tuhan
Bab 3 Membawa Pulang Masa Depan
Bab 4 Rintihan Rindu Pada Kenangan
Bab 5 Pemula Ukhwah
Bab 6 Gadis Bertudung Merah Jambu
Bab 7 Dalam Riuh Ada Duka
Bab 8 Kain Putih
Bab 9 Kanvas Oren Atau Biru
Bab 10 Suara Azan Budak Surau