Diya hidup dalam ketakutan akibat ancaman bapanya yang panas baran. Diya berjaya membawa ibunya keluar dari flat bapanya dan menyewa satu unit rumah kedai. Diya menyara hidup mereka berdua dengan melukis mural. Tetapi, bapanya tidak membiarkan mereka lepas begitu sahaja.
Arjuna mengembara ke dunia sebelah sana bersama bondanya untuk melarikan diri daripada ancaman Mahasura, raja, bapa dan suami yang menuntut ajaran papakerma. Ratu Pertiwi tidak mahu menurunkan kesaktian adilakar perentas dimensi yang dimilikinya kepada Arjuna kerana mahu melindungi anaknya. Akibatnya, Arjuna memerlukan bantuan seorang regulakar untuk memiliki kebolehan merentas dimensi. Apabila bertemu dengan Diya, Arjuna menyangka dia akhirnya dapat menyelamatkan Lakarloka daripada ancaman raksha-raja Mahasura. Tetapi, Diya ada misinya sendiri.
Narasinga memikul gelaran bendaharawan apabila ratu dan putera mahkota Lakarloka minggat ke dunia sebelah sana. Narasinga sedaya upaya melindungi rakyat jelata demi tanggungjawab. Apabila Arjuna tiba-tiba pulang dengan seorang regulakar untuk menyelamatkan Lakarloka, kesetiaan Narasinga berbelah bahagi antara impian ibunya untuk memerintah, persahabatannya dengan putera mahkota Arjuna serta janjinya untuk melindungi regulakar bernama Diya.
Bertembunglah tiga insan dua dimensi bergolak! Adakah roman ini seindah lukisan?