Artikel

Pemergian Almarhum Dr. Yusuf Al-Qaradhawi: Suatu Kehilangan

oleh Nadirah Hanis pada 28 Sep 2022

Innalillah wainna ilaihi rajiun. Ulama tersohor dunia, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah meninggal dunia pada 26 September 2022 pada usia 96 tahun.⁠


Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dilahirkan pada 9 September 1926 di sebuah desa kecil di Mesir bernama Shafth Turab. Beliau mula menghafaz Al-Quran sejak berusia 10 tahun. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menamatkan pendidikan awal sehingga peringkat tertinggi di Maahad Thantha.⁠

Selepas lulus, beliau melanjutkan pelajaran ke Fakulti Usuluddin di Universiti Al-Azhar dan menamatkan pelajaran pada 1952. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi memperoleh gelaran doktor pada tahun 1972. Di Qatar, beliau menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar dan mendirikan Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.⁠

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dikenali sebagai ulama dan pemikir Islam yang unik dan istimewa. Ini kerana, beliau mempunyai cara dan metodologi khas dalam menyampaikan risalah Islam. Disebabkan metodologi itu, beliau mudah diterima di dunia Barat sebagai seorang pemikir yang menyampaikan Islam secara hikmah, santun, dan seimbang. Kredibiliti yang hebat menyebabkan beliau sering dijemput menghadiri pertemuan antarabangsa di Eropah mahupun Amerika Syarikat sebagai wakil masyarakat Islam.⁠

Dalam pemikiran dan dakwah, usaha jitu Dr. Yusuf Al-Qaradhawi begitu relevan dalam perkembangan Islam pada masa kini. Karya-karya beliau mencetuskan kebangkitan Islam moden. Terdapat lebih 100 judul buku dalam pelbagai disiplin ilmu Islam yang ditulis oleh beliau. Karya beliau juga banyak diterjemah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu.⁠

PTS telah menerbitkan 21 buah karya beliau dan sebuah karya tentang beliau tulisan Dr. Mohamad Kamil Hj. Ab. Majid. Antara karya terulung beliau termasuklah siri Fatwa Kontemporari, Halal dan Haram Dalam Islam, Fiqh Keutamaan dan banyak lagi. Sementara itu, buku Pemikiran Tasawuf Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi tulisan Dr. Mohamad Kamil Hj. Ab. Majid mengajak pembaca memberikan tumpuan kepada pemikiran Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam aspek tasawuf yang lebih bersifat amali dan akhlak dan bukan hanya teori dan falsafah.

Sudah banyak sumbangan yang Almarhum Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berikan sepanjang hayatnya selama 96 tahun. Semoga legasinya terus kekal dan memberi manfaat kepada seluruh alam.⁠


Maklumat lanjut tentang karya Almarhum Dr. Yusuf Al-Qaradhawi terbitan PTS: klik sini.

Menarik: 5 Buku Dr Yusuf Al-Qaradhawi Yang Patut Ada Dalam Setiap Rumah

Menarik: 5 Buku Dr Yusuf Al-Qaradhawi Yang Patut Ada Dalam Setiap Rumah (Bhg 2)

Menarik: Yusuf Al-Qaradhawi: Isu Akidah antara Salaf dan Khalaf

Menarik: Pemikiran Tasawuf Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Menarik: PTS Islamika Lesenkan Buku Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi





Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024