Buku

Salahuddin VS Richard the Lionheart

oleh Mu’ Min Jarni

RM 24.00 / RM 27.00Sabah/Sarawak
Beli Versi Cetak
Bookcafe Shopee Lazada
Beli Versi Ebook
 

ISBN: 978-967-481-003-0

Muka Surat: 272

Saiz: 5.5x8.5

Tarikh Terbit: 28 Apr 2017

Perang Salib Ketiga menjadi medan pertembungan dua tamadun dan agama. Barat dan Timur. Kristian dan Islam. Tetapi peperangan ini lebih terkenal kerana menjadi medan tempur buat dua personaliti yang melangkaui zaman.

Sultan Salahuddin al-Ayubbi dan Raja Richard the Lionheart.

Salahuddin vs Richard the Lionheart mendokumentasikan tentang perseteruan dua legenda ini dengan lebih lanjut.

Tiga pertempuran yang melibatkan wira Islam dan pahlawan Kristian ini akan diceritakan dengan teliti, termasuk sejarah kedua-dua raja ini sebelum penglibatan mereka dalam Perang Salib.


Apabila Paus Urban II menerima surat daripada Maharaja Alexius, matanya berkilau kegembiraan. Inilah peluang yang beliau nantikan selama ini. Peluang untuk menyelesaikan masalah yang membelenggunya sebagai pemimpin tertinggi umat Kristian di Eropah.

Pada akhir abad ke-11, benua Eropah adalah sebuah benua yang bergolak. Di sebelah timur, Empayar Byzantine (Rom Timur) yang dipimpin oleh Maharaja Alexius I Comnenus adalah sebuah kuasa besar dan merupakan pusat perkembangan Kristian Ortodoks di Eropah. Ibu kota Byzantine, Konstantinopel merupakan antara ibu kota terhebat di dunia pada ketika itu. Dengan dinding tembok pertahanannya yang tinggi dan kukuh, kota ini tidak dapat ditembusi oleh mana-mana musuh Byzantine sehinggalah Sultan Muhammad Fatih tiba dengan bala tenteranya pada 1453.

Walaupun Kerajaan Byzantine merupakan antara kerajaan terkuat di Eropah, ia dikelilingi ancaman yang amat hebat oleh kerajaan-kerajaan Islam yang berada Asia Kecil, terutama sekali Kerajaan Seljuk Rum di sebelah timur Konstantinopel. Kota Konstantinopel berkemungkinan besar boleh dijatuhkan oleh kerajaan Islam ini.

Sebelum ini pada 1071, Kerajaan Byzantine telah mengalami kekalahan yang memalukan di tangan satu lagi kerajaan bangsa Turki iaitu Empayar Turki Seljuk. Pada pertempuran bersejarah di sebuah tempat bernama Manzikert, Maharaja Byzantine sendiri, Romanos IV telah ditangkap. Semenjak itu, walaupun Kerajaan Byzantine tidak dijajah oleh kerajaan Islam, ancaman kerajaan Islam berhampiran sentiasa membayangi pemerintahnya. Oleh sebab itulah Maharaja Alexius sanggup meminta bantuan daripada seteru politik dan agama, iaitu Paus Urban II di Rom.

Jika Eropah Timur diancam oleh sebuah kerajaan Islam, Eropah Barat pula berbalah antara satu sama lain. Perebutan tanah dan kekayaan antara penguasa menjadikan benua itu sentiasa bergolak dengan keganasan. Pada ketika pengaruh agama Kristian sangat kuat dalam masyarakat Eropah, Paus Urban II sebagai ketua tertinggi agama Kristian merasakan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menyalurkan keganasan umat Kristian ini ke arah yang lebih baik.

Jadi, permintaan Alexius untuk menghadapi ancaman musuh yang beragama Islam berhampiran kerajaannya adalah sesuatu yang Paus Urban II nanti-nantikan. Selain menyelesaikan masalah pertelingkahan di Eropah Barat, ini adalah peluang untuk beliau meluaskan pengaruh Gereja Katolik sambil berbaik-baik dengan Gereja Ortodoks di Rom Timur. Dengan adanya bala tentera dalam kalangan orang Eropah Barat, Paus Urban juga berharap boleh melindungi orang Kristian di timur.

Di Clermont, pada 27 November 1095, di halaman sebuah gereja yang dipenuhi oleh orang ramai, Urban menyampaikan khutbahnya yang menggegarkan seluruh dunia Kristian. 

Walaupun teks asal khutbah Paus Urban II ini tidak pernah dipastikan secara seratus peratus, tetapi intipatinya diketahui oleh ramai orang. Beliau menegaskan bahawa masyarakat Kristian Eropah mesti ke timur untuk membantu masyarakat Kristian di sana yang telah dianiaya oleh orang Islam. Jika sebelum ini orang Kristian membunuh sesama mereka, mereka hendaklah pergi ke Timur dan menghapuskan orang Islam yang mengancam dunia Kristian. Di samping itu, mereka juga mesti mengembalikan Jerusalem, sebuah tempat yang juga suci buat umat Kristian. Urban juga mengingatkan bahawa mereka yang pergi melakukan perjuangan bersenjata ini akan diampun dosa dan diberi ganjaran syurga sebagai ganti penyerahan keringat dan nyawa mereka.

Laungan, “Ini adalah kehendak Tuhan! Ini adalah kehendak Tuhan!” kedengaran dalam kalangan hadirin selepas ucapan itu.

Panggilan ini disahut baik oleh masyarakat Kristian di Eropah Barat, tidak kira miskin dan kaya. Masyarakat mula berkumpul dan menubuhkan kumpulan untuk merentasi kawasan musuh sejauh ribuan batu untuk membebaskan Jerusalem daripada genggaman orang Islam. Walau bagaimanapun, kumpulan pertama datang ke Konstantinopel untuk membantu Alexius bukanlah bala tentera yang baginda dan Paus Urban harapkan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024